Jemputan MESYUARAT AGUNG TAHUNAN pertubuhan khairat kali ke 9 akan diadakan pada 08/03/2020 jam 8:00 pagi bertempat di Surau Infitah Al-Khairiah. Semua ahli khairat dijemput hadir. Terima kasih

Rabu, 14 Oktober 2015

AL-FATEHAH DAN SEKALUNG TAKZIAH kepada keluarga arwah Mat Min bin Seman yang telah meninggal dunia pada 14/10/2015. Arwah merupakan ahli khairat kariah Tamn Seri Mawar 2. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh arwah.

Sabtu, 10 Oktober 2015

AL-FATEHAH DAN SEKALUNG TAKZIAH kepada keluarga arwah Mohamed Usop bin Abdul Rahim yang telah meninggal dunia pada 10/10/2015. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh arwah.

Rabu, 30 September 2015

AL-FATEHAH DAN SEKALUNG TAKZIAH kepada keluarga arwah Siti Noor Haslina  binti Mustafa yang telah meninggal dunia pada 30/09/2015. Arwah merupakan isteri kepada En. Khairi bin Jahim yang merupakan ahli pertubuhan khairat yang menetap di Flat Senawang Fasa 2. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh arwah.

Khamis, 13 Ogos 2015

AL-FATEHAH untuk arwah Khadijah binti Mohd Nor yang telah meninggal dunia pada 13/08/2015 yang lalu. Arwah merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pertubuhan khairat sejak dari penubuhannya lagi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Amin.

Rabu, 5 Ogos 2015

AL-FATEHAH DAN SEKALUNG TAKZIAH kepada keluarga arwah Marina binti Yazid yang telah meninggal dunia pada 26/07/2015 lalu. Arwah merupakan ahli pertubuhan khairat yang menetap di TamanSri Mawar Fasa 1. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh arwah.

Rabu, 8 April 2015

Ambil perhatian bahawa PINDAAN perlembagaan pada dua FASAL yang telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan iaitu Fasal 7 dan Fasal 10 Perkara (b). Perkara ini telah dibahas dalam Mesyuarat Agung kali ke 4 lalu pada 29/3/2015. Setiausaha telah memohon melalui sistem e-roses pada 29/3/2015 dan mendapat kelulusan pada 8/4/2015. 

FASAL 7 : BANTUAN KEMATIAN
Wang bantuan akan dikeluarkan bila-bila berlaku kematian seperti di bawah ini.
a) Atas kematian ahli sendiri       RM1500.00
b) Atas Kematian isteri ahli       RM1500.00
c) Atas kematian tanggungan ahli seperti anak  RM1500.00

FASAL 10 : TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB PEGAWAI
b) Penyata Kira-kira Tahunan berakhir pada 31 Disember. Penyata kira-kira ini hendaklah diperiksa dan disahkan oleh pemeriksa kira-kira yang dilantik dalam Mesyuarat Agong Tahunan. Bendahari tidak dibenarkan menyimpan wang tunai ditangannya lebih daripada RM2000.00 (Ringgit Malaysia Dua Ribu Sahaja) pada satu-satu ketika dan semua wang yang lebih daripada itu hendaklah dimasukan ke dalam Bank yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab berkenaan dengan segala wang yang diterima dan dibayar serta diberi kuasa menandatangi cek-cek bagi pihak pertubuhan bersama-sama dengan Pengerusi atau Setiausaha. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama pertubuhan.

PENYATA TAHUNAN : LULUS

PINDAAN PERLEMBAGAAN

PINDAAN PERLEMBAGAAN : LULUS

Isnin, 30 Mac 2015

ALHAMDULILLAH, akhirnya Mesyuarat Agung Tahunan pertubuhan khairat telah dapat disempurnakan pada 29hb Mac, yang lalu. Mesyuarat Agung itu telah dirasmikan oleh YB Tuan. Mohd Ghazali bin Abd. Wahid; Adun Paroi. Dalam ucapan perasmiannya, YB yang juga mantan Pengerusi pertubuhan Khairat dan kematian Taman Sri Pagi mengucapkan tahniah kepada barisan AJK kerana berjaya mentadbir pertubuhan dengan baik. Jumlah ahli pertubuhan yang ramai berjumlah 313 orang membuktikan kepercayaan yang tinggi yang diberikan oleh ahli-ahli kepada barisan AJK. 

Sementara pada ucapan aluan pengerusi pertubuhan iaitu En. Md Yakin pula, beliau merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan AJK yang telah sama-sama mengembling tenaga, idea dan kerjasama bagi mentadbir perjalanan pertubuhan sepanjang tahun 2014.

Sebanyak 9 usul telah dibahas dan dijawab terus oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Tiada usul yang dijawab secara bertulis.

USUL
Usul 1 –
Pn. Rohani Ariffin mengusulkan agar kemasukan ahli baru dipermudahkan. Ini kerana berdasarkan peraturan sekarang, setiap ahli yang hendak mendaftar menjadi ahli baru perlu melalui kelulusan mesyuarat AJK. Ia akan mengambil masa lama. Setiausaha menjawab, perkara tersebut berdasarkan peruntukan perlembagaan pertubuhan yang menyebut :

“FASAL 4 : KEAHLIAN
…Seseorang yang ingin menjadi ahli hendaklah memohon dan mendaftarkan namanya, nama-nama tanggungannya, lengkap dengan umur dan alamat kepada Setiausaha. Mesyuarat Jawatankuasa berkuasa melulus atau menolak permohonan untuk menjadi ahli".

Usul 2 –
Diusulkan agar diadakan kursus mandi jenazah. Pengerusi pertubuhan memaklumkan perkara itu memang ada dalam perancangan pertubuhan dan ia kemungkinan akan diadakan pada bulan 5 nanti.

Usul 3 –
Hj. Abbas mengusulkan jika dapat diwajibkan semua ahli kariah menjadi ahli pertubuhan khairat. Pengerusi berpendapat hal ini agak sukar kerana tujuan pertubuhan bukan untuk memaksa mana-mana individu untuk mendaftar menjadi ahli. Urusan jenazah ini adalah fardhu kifayah. Sama ada individu tersebut ahli atau tidak ahli, jenazah perlu diuruskan. Tinggal lagi atas kesedaran, jika mereka merasakan ada kebaikan dan faedah menjadi ahli, mereka akan mendaftar.

Usul 4 –
Pn. Rohana mencadangkan agar penyewa diberi peluang menjadi ahli. Pengerusi menetapkan syarat; penyewa tersebut mestilah telah menyewa lebih dari 3 bulan dan mendapat sokongan daripada AJK yang tinggal di kawasan dia menyewa.

Usul 5 –
Pn. Norisham mencadangkan agar pertubuhan mengutamakan kebajikan ahli seperti memberi sumbangan kepada ahli-ahli yang sakit,  menziarah ahli yang berada di hospital/rumah dan seumpamanya. Pengerusi bersetuju pada dasarnya tetapi ia perlu merujuk kepada kekuatan kewangan pertubuhan iaitu daripada akuan wang senggara sahaja.

Usul 6 –
Tn. Hj. Mohd Sharif (penasihat pertubuhan) mencadangkan agar ‘Notis Peringatan’ kepada ahli yang tidak membayar wang khairat diberi kelonggaran dengan tidak membatalkan keahlian mereka. Setiausaha menjawab perkara tersebut adalah berdasarkan peruntukan perlembagaan pada Fasal (5) Perkara (4) : Mana-mana ahli yang gagal membayar wang pertaruhan/wang khairat setelah berlaku kematian, boleh dilucutkan keahlian mereka berdasarkan Fasal (5) Perkara (4) tersebut. Bagaimanapun setiausaha memaklumkan atas budi bicara AJK, tindakan pada Fasal ini belum pernah dikenakan kepada mana-mana ahli yang gagal membayar wang khairat pada tempoh yang diberikan.

Usul 7 –
Tn. Hj Mohd Yusof selaku bendahari mencadangkan agar kutipan wang khairat dapat berjalan licin dan ahli-ahli memberi kerjasama yang secukupnya. Setakat ini rekod kutipan khairat berjalan kira-kira 70% sahaja.

Usul 8 –
Pengerusi mencadangkan wang bayaran khairat dinaikan kepada RM1500.00 berkuatkuasa dari tarikh mesyuarat agung tahunan (29/03/2015). Perkara ini dipersetujui oleh ahli-ahli sebulat suara. Setiausaha akan memohon pindaan perlembagaan Fasal (7) daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan melalui sistem e-roses.

Usul 9 –
Bendahari pertubuhan, Tn. Hj. Mohd Yusof mengusulkan agar pertubuhan khairat menubuhkan satu koperasi khas untuk ahli-ahli. Keuntungan daripada koperasi ini bolehlah disalurkan kepada pertubuhan khairat dan kepada ahli-ahli sendiri dalam bentuk dividen dan bonus. Koperasi akan menumpukan kepada perniagaan teras iaitu menyediakan kelengkapan pengkebumian jenazah. Cadangan yuran kemasukan adalah RM10.00 sahaja seumur hidup manakala saham minima adalah RM20.00. Usul ini menerima sokongan majoriti ahli pertubuhan khairat.

Pada agenda Lain-lain Hal pula antara perkara yang dikemukakan untuk perhatian ialah :

Tn. Hj  Abbas membangkitkan perkara yang diputuskan dalam mesyuarat AJK lalu (18/3/2015) bahawa yuran tahunan ahli sebanyak RM5.00 dikecualikan untuk tahun 2015. Bendahari berharap ia dapat diteruskan kerana jumlahnya kecil malah ia sebagai satu cara menunjukan komitmen ahli. Majoriti ahli bersetuju yuran ini diteruskan. Setiausaha juga memaklumkan jika berlaku pertindanan keputusan dalam apa-apa mesyuarat, keputusan dalam Mesyuarat Agung hendaklah digunapakai.

Berbalik kepada Laporan Penyata Kewangan, dividen daripada pelaburan ASB yang tidak dikenakan zakat hendaklah ditukarkan kepada pelaburan sama ada di Bank Islam atau Tabung Haji yang secara automatik telah ditolak wang zakat. Keputusan mesyuarat agung menetapkan pelaburan masih boleh diteruskan dalam akaun ASB manakala wang zakat sebanyak 2.5% setahun itu akan dibayar sendiri oleh pertubuhan khairat. Bendahari juga memaklumkan kepada ahli-ahli bahawa bukanlah menjadi kesalahan kepada pertubuhan melabur wang mereka menerusi pemegang-pemegang amanah yang dilantik berdasarkan pertuntukan perlembagaan Fasal (17) Perkara (1).

Pengerusi menangguhkan mesyuarat tepat jam 12:00 tengah hari. Seterusnya menjemput hadirin menikmati jamuan makan tengah hari yang telah disediakan.


My Image

My Image


My Image

My Image


My Image

My Image


My Image

My Image


My Image

My Image



My Image


My Image

My Image


My Image



Isnin, 23 Mac 2015

MESYUARAT AJK BIL 1/2015

Tarikh : 18hb, Mac 2015
Tempat : Surau Sri Mawar 1
Masa : selepas solat isyak


Agenda Mesyuarat :
  1. Ucapan aluan pengerusi
  2. Laporan ringkas setiausaha
  3. Laporan ringkas bendahari
  4. Persiapan Mesyuarat Agung Tahunan
a) Cadangan tarikh/lokasi Mesyuarat Agung 2015
b) Cadangan perasmi Mesyuarat Agung
c) Cadangan menu jamuan Mesyuarat Agung
d) Pengisian Mesyuarat Agung (Bacaan quran/nasyid dll)

5. Lain-lain hal/perkara berbangkit
6. Penangguhan mesyuarat AJL

Pengerusi memohon ampun dan maaf terlebih dahulu kerana tidak dapat mengadakan mesyuarat AJK pada tahun 2014. Bagaimanapun untuk makluman AJK, beberapa siri perbincangan tidak rasmi antara Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari telah diadakan sebanyak 5 kali. 

Sebelum memulakan mesyuarat, pengerusi terlebih dahulu memohon semua barisan AJK untuk membacakan ummul kitab iaitu al-fatehah untuk memberkati mesyuarat.

Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat AJK tersebut ialah berkenaan persiapan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 4. 

Rabu, 11 Mac 2015

TARIKH : 11/03/2015
MASA : 06:00 petang
LOKASI : Restoran Mas Tomyam

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengarah ROS Seremban pada pertemuan 2 hala antara Pertubuhan Khairat dengan pihak ROS tempohari, tidak semestinya mesyuarat AJK dibuat sebanyak 3 atau 4 kali secara rasmi pada tahun pentadbirannya memandangkan pertubuhan ini bukanlah berdasarkan keuntungan tetapi bersifat kepentingan masyarakat. Malah perbelanjaan untuk mesyuarat AJK sebenarnya tiada. Kutipan yuran tahunan sebanyak RM5.00 hanyalah untuk membiayai kos mesyuarat agung tahunan. Itupun tidak mencukupi dan terpulang kepada pihak pengurusan atau AJK yang dilantik untuk menampung kos yang tidak cukup.

Perbincangan pada 11/03/15 tersebut lebih fokus kepada persiapan untuk menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan yang dijangka pada 29hb Mac. Hadir pada perbincangan tersebut ialah Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Setiausaha mencadangkan dipanggil 1 mesyuarat AJK untuk membincangkan perkara ini secara rasmi. Kedua-dua Pengerusi dan Bendahari mencadangkan mesyuarat itu diadakan di Surau Taman Sri Mawar 1 pada 18hb mac depan selepas solat isyak. Sehubungan dengan itu, Setiausaha akan membuat surat panggilan mesyuarat AJK untuk edaran.

Pautan untuk memuat turun senarai AJK Pertubuhan Khairat.

Khamis, 5 Mac 2015

MAJLIS tersebut akan diadakan pada hari selasa bersamaan 10hb mac, 2015. Satu mesyuarat khas yang dihadiri oleh pengerusi-pengerusi surau, KRT dan beberapa NGO di dalam kariah Masjid Ar Raudhah telah diadakan pada 4hb mac yang lalu bagi membincangkan persiapan sambutan majlis Tilawah Al Quran ini yang boleh dianggap sebuah program berskala besar kerana ia adalah pada peringkat daerah Seremban. Pengerusi Pertubuhan Khairat dan Kematian turut hadir dalam mesyuarat khas tersebut bersama Setiausaha Pertubuhan Khairat.Tilawah akan dirasmikan oleh Dato' Haji Mubarak bin Dohak, Undang Luak Sungai Ujong. Turut hadir ialah YAM Dato' Syahbandar Sungai Ujong, Dato' Seri Utama Haji Badaruddin bin Haji Abdul Khalid.

Tentatif majlis :

06:30 pm - Ketibaan orang ramai dan dif jemputan

07:10 pm - Ketibaan YAM Dato' Syahbandar Sungai Ujong, Dato' Seri Utama Haji Badaruddin bin Haji Abdul Khalid.

07:15 pm - Ketibaan ke Bawah Kaus YTM Dato' Klana Petra, Dato' Haji Mubarak bin Dohak, Undang Luak Sungai Ujong.

07:37 pm - Solat maghrib berjemaah

07:50 pm - Ucapan aluan oleh pengerusi majlis

  • - Ucapan Tuan Pegawai Daerah Seremban

  • - Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Tilawah Al Quran

  • - Ucapan perasmian oleh ke Bawah Kaus YTM Dato' Klana Petra Dato' Haji Mubarak bin Dohak, Undang Luak Sungai Ujong


08:30 pm - Acara tilawah Al Quran berlangsung (Qari dan Qariah)

09:30 pm - Solat isyak berjemaah

  • - Ulasan ketua jemaah hakim dan pengumuman keputusan

  • - Penyampaian hadiah tilawah

  • - Penyampaian Sumbangan pendidikan kepada anak-anak yatim

  • - Penyampaian cenderahati


10:00 pm - Santapan dan jamuan makan malam

10:30 pm - Bersurai 

Sabtu, 10 Januari 2015

KUTIPAN wang khairat kematian bagi ahli-ahli dari Flat Seri Mawar telah diserahkan kepada bendahari oleh setiausaha khairat pada 09/01/2015 kira-kira jam 09:50 malam. Sejumlah RM740.00 diterima oleh bendahari mewakili hampir 90% keahlian khairat Flat Seri Mawar. Bendahari juga telah menyerahkan 15% daripada wang kutipan yakni sejumlah RM110.00 kepada setiausaha khairat untuk diberikan kepada AJK yang mewakili pertubuhan khairat yang dilantik membuat kutipan khairat bagi pihak pertubuhan sebagai upah sebagaimana yang telah dipersetujui dalam mesyuarat.

Kutipan tersebut juga termasuk bayaran RM5.00 sebagai bayaran yuran tahunan pertubuhan. Untuk makluman ahli, bayaran yuran tahunan ini boleh juga dijelaskan semasa Mesyuarat Agung Tahunan dijalankan. Menurut perlembagaan pertubuhan, mana-mana ahli yang gagal menjelaskan bayaran yuran tahunan akan hilang kuasa untuk mengundi, menjadi/memilih calon, membuat usul bahkan hadir dalam mesyuarat agung tahunan. Bagaimanapun, perkara ini boleh juga dipertimbangkan oleh barisan AJK atas dasar 'budi bicara'. Cuma dinasihatkan agar ahli-ahli khairat tidak mengambil kesempatan atas dasar budi bicara AJK itu. Sama-samalah kita mengambil sikap bertanggungjawab demi memastikan pertubuhan dihormati semua.


    

Selasa, 6 Januari 2015

Pertemuan dan perbincangan terkini peneraju Pertubuhan Khairat dan Kematian Kariah Taman Seri Mawar telah berlangsung di rumah bendahari pertubuhan pada 2/1/2015 lalu. Pertemuan tersebut lebih kepada perbincangan tidak rasmi berkenaan perancangan pertubuhan untuk sesi pentadbiran pada tahun 2015. Sebelum memanggil mesyuarat AJK, pengerusi pertubuhan; En. Md Yakin, setiausaha pertubuhan; En. Tajol Ariffin Hasan dan bendahari pertubuhan; En. Mohd Yusof Zakaria telah membincangkan secara khusus agenda pertubuhan untuk tahun 2015 bertujuan memantapkan pentadbiran pertubuhan daripada segala sudut termasuklah kewangan dan dokumentasinya.

Cadangan pertama yang telah dicapai ialah memanggil satu mesyuarat AJK pada bulan januari ini untuk membincangkan persiapan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (2015). En. Tajol Ariffin selaku setiausaha pertubuhan memaklumkan menurut undang-undang pertubuhan ROS; pertubuhan mempunyai tempoh untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan sehingga akhir bulan Mac, 2015 dan mempunyai tempoh selama 60 hari selepas selesai mesyuarat untuk menghantar Penyata Tahunan Pertubuhan. Setiausaha juga memaklumkan kepada pengerusi bahawa Penyata Tahunan dan segala dokumentasi pertubuhan untuk tahun 2014 lalu telahpun diselesaikan mengikut tempoh yang diberikan. 

Bendahari pula akan mengemaskini laporan kewangan untuk dibincangkan pada mesyuarat AJK akan datang sebelum dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan (2015). Berdasarkan keperluan semasa dan keadaan harga barang termasuk barangan untuk keperluan pengurusan jenazah, bendahari memaklumkan kemungkinan perlu untuk dibincangkan bersama AJK sama ada menambah nilai khairat atau memikiran suatu cara untuk melicinkan lagi pengurusan jenazah tersebut. Nilai khairat semasa iaitu RM1300.00 tidak lagi dilihat relevan jika mengambil kira kos semasa. Bagaimanapun, hal ini akan dibawa ke dalam Mesyuarat Agung Tahunan nanti untuk dibahas.

Pengerusi memaklumkan jika mengikut putaran giliran tuan rumah bagi Mesyuarat Agung Tahunan akan datang jatuh kepada Taman Seri Mawar 1. Giliran Taman Seri Mawar 2 dan Rumah Pangsa Senawang Fasa 2 selaku tuan rumah telahpun dicapai pada tahun 2013 dan 2014. Malah Taman Seri Mawar 1 pun sebenarnya telahpun menjadi tuan rumah pertama pada tahun 2012. Bermakna pusingan pertama giliran menjadi tuan rumah bagi ketiga-tiga taman telahpun selesai.

Persediaan untuk mesyuarat ini dari segi tempat, masa dan jemputan perasmi akan diperincikan lagi pada mesyuarat AJK yang akan diadakan kelak. Sehingga berita ini ditulis, setiausaha dan bendahari sedang mengemaskini maklumat keahlian dan kewangan pertubuhan. Apabila selesai kelak, mesyuarat AJK akan diadakan secepat mungkin iaitu sebelum berakhir bulan Januari ini.

    

Photobucket
Syarikat atau orang perseorangan yang ingin menyumbang kepada tabungan Pertubuhan bolehlah berbuat demikian sama ada dengan deposit tunai atau cek atas nama PERTUBUHAN KHAIRAT DAN KEMATIAN KARIAH TAMAN SERI MAWAR. No akaun Pertubuhan di Bank Islam ialah :
0506-701000-5478

RUANGAN UNTUK IKLAN



Ruangan ini khas untuk iklan sahaja. Iklan yang menyentuh sensiviti perkauman atau agama tidak dibenarkan. Iklan untuk produk-produk non-halal juga tidak dibenarkan. Termasuk iklan-iklan yang menyalahi undang-undang penerbitan. Untuk tempahan iklan sila hubungi admin atau mana-mana AJK Pertubuhan